Wednesday, November 3, 2010
Antara “BukuWajah” dengan “BukuQalbu”
Seperti petang minggu lalu, petang itu juga kawasan Masjid Negara dikabusi asap nyamuk. Pedih tapi, saya tidak tersedar kerana lebih terbenam dalam “The Facebook Effect”. Buku David Kirkpatrick mendekatkan saya kepada Mark Zuckerberg—mahasiswa sangat muda yang sempat merombak sistem perhubungan manusia.
Sebelum itu, selang sehari, bersandar di sebuah tiang dalam masjid bersejarah itu, saya sempat ditegur agamawan. Maklum saya baca buku Inggeris. Saya sempat cepat mengeluarkan buku “Hidup Sesudah Mati” oleh Bey Arifin. Saya bayangkan minat saya duniawi dan ukhrawi. Kerana kini 75 tahun tentulah lebih ukhrawi.
Saya terpikat oleh penjelajahan dan “kecapaian” Bill Gates, Jeff Bezos dan Steve Job, sebelum Mark Zuckerberg. Saya menapis manfaat daripada kejayaan duniawi mereka.
Antara sedar dan khayal—sebelum azan Asar dan Magrib—saya sempat keluar daripada buku “The Facebook Effect” itu dengan lega. Dan saya kembali ke bumi sendiri. Pertama, tentulah saya sendiripun berharap bangat akan lahir Mark Zuckerberg di kalangan siswa kita. Siapa tahu dalam senyap akan hadir sekelompok mahasiswa Melayu yang sempat memulakan “BukuQalbu” mengimbangi “BukuWajah”—Facebook. Yang sebuah memang duniawi; sebuah lagi syahdu ukhrawi.
Apakah antara sebaik kandungan buku ukhrawi itu?
Sambil bersandar antara khayal dan sedar, saya mengharapkan dalam “BukuQalbu” itu nanti sempatlah siswa kita menyedarkan pemimpinnya supaya jangan gelojoh tambah menara; tambahlah rumah murba. Usahlah galak melonggok hutang; pulihkanlah ekuiti bangsa. Kurangkan varsiti klon-klonan; perbanyak varsiti sendiri. Dan, usah galak dengan wang ikhsan; bertuluslah beri royalti.
Akhir-akhir ini saya makin tersedar bahawa kita sangat selesa menjadi bangsa penjanji. Dan janjinya pula sentiasa mega. Kebanyakan janji itu berakar hutang. Akan banyak IPO, juga pelbagai bond—beban hutang bagi generasi datang.
Sementara berwuduk baru, saya terdengar: Bolehkah kita jadi bangsa penjimat, bukan pemboros? Elaklah jadi George Bush dan Gordon Brown yang lebih mewariskan hutang daripada mewariskan khazanah. Tolong abadikan itu dalam “BukuQalbu”. Tolong!
No comments:
Post a Comment