Wednesday, November 10, 2010

....Hujan pun Menari karya NB.



Akhirnya, berjaya jugak aku ke mukasurat 892 novel ....Hujan pun Menari karya NB. Dah agak lama aku berehat dari membaca novel. So pergerakan dari satu chapter ke satu chapter agak slow. Selalunya kalau novel tu best aku boleh hbaiskan dalam masa satu hari saja. pernah aku x tidor seharian kerana nak habiskan sebuah novel. Sekarang nih sedang mencari kembali mood membaca tu. Dah bertimbun novel baru yang belum sempat dibaca. Terima kasih kak NB kerana novel yang begitu hebat sekali. Banyak pengajaran, ilmu, nasihat dan pengetahuan yang diperolehi dari novel terbaru NB nih. Ruginya bagi sesiapa yang belum memiliki dan membaca novel ini...thumbs up untuk kak NB.

Di sini ingin aku kongsi sedikit isi novel yang di cilok dari blog NB....

HUJAN PUN MENARI-BAB 1
KARYA NORHAYATI BERAHIM

Hujan renyai-renyai membasahi bumi kampung Parit Kejora itu. Seorang kanak-kanak perempuan sedang mendongak, merenung seorang kanak-kanak lelaki yang sedang duduk di atas pokok manggis.
“Qurban, sudahlah. Dah, turun...! Nak hujan ni. Pokok manggis ni licin, nanti kau jatuh!”
Kanak-kanak perempuan itu menjerit menyuruh kanak-kanak lelaki yang sebaya dengannya turun.
“Sikit lagi. Banyak lagi yang masak ni. Hmm... sekejap aje lagi. Kau yang nak makankan, buah manggis ni?”
Degil!
Kanak-kanak lelaki yang dipanggil Qurban itu tidak mengendahkan suruhan si kanak-kanak perempuan. Seolah-olah hujan tidak mendatangkan apa-apa mudarat buatnya.
“Tak apa, aku tak mahu lagi. Kau turunlah. Nanti kau jatuh, susah. Tinggi ni. Pokok manggis ni rapuh.”
Ya, antara pokok rambutan dan pokok manggis, pokok manggis agak pemurah. Suka memberi tumbuhan lain menumpang tetapi batang dan rantingnya cukup rapuh.
Tidak macam pokok rambutan yang agak liat batangnya dan cukup lokek membenarkan tumbuhan lain menumpang di tubuhnya.
“Ini banyak lagi buah yang masak ranum. Kau sabarlah, sekejap aje lagi.”
Balas Qurban sambil memasukkan buah manggis yang sudah dikutip ke dalam bakul yang dibawa.
Hujan semakin lama semakin lebat tangisnya dan semakin deras tarinya. Anak perempuan yang kebimbangan itu sudah menadah tangannya untuk merasai hujan yang turun.
“Tak payahlah, Qurban. Tak payahlah. Aku tak mahu lagi. Turun. Nanti kau jatuh. Turunlah...”
Sedikit merayu anak kecil itu. Ngeri dia memikirkan kalau sahabat sepermainannya itu jatuh tergelincir atau tersalah paut di mana-mana ranting. Kelak akan menderitalah sahabatnya itu.
“Kau nikan, dah ikut jejak langkah nenek aku tu. Membebel aje. Yalah aku turun. Aku turunlah ni.”
Bingit telinga Qurban mendengar.
“Kau nikan, Nek Siah pun tak kecoh macam kau. Aku tahulah nak turun ke tak...!”
Sambung Qurban.
“Kau jahat! Aku suruh kau turun kau cakap aku kecoh. Turunlah...!”
Muna sudah separuh membebel. Sakit hatinya melihat Qurban yang ketawa-ketawa sambil menari-nari.
Gila sungguh! Menari atas pokok. Kalau jatuh bedebuk, padan muka! Eksyen sangat! Muna menggerutu dalam hati.
“Aduh!”
Muna terpinga-pinga. Mulutnya melopong apabila melihat Qurban sudah terjelepok tidak jauh dari kakinya.
“Qurban...!”
Muna berlari mendapatkan Qurban yang sudah tidak bergerak-gerak.
“Qurban!”
Muna menjerit kuat. Dia sudah mahu menangis. Menyesal kerana sebentar tadi, meniatkan yang bukan-bukan terhadap sahabatnya itu.
“Qurban bangunlah, Qurban. Bangunlah. Ya ALLAH... tolonglah. Jangan kau matikan sahabat baikku ini. Tuhan, aku berjanji aku akan lakukan apa saja untuk sahabatku ini. Ya ALLAH, aku minta ampun Ya ALLAH, hati aku jahat. Ya ALLAH, dia kawan aku, Ya ALLAH... jangan matikan dia!”
Muna sudah menangis teresak-esak. Sedih hati apabila mengingatkan kemungkinan dia akan kehilangan seorang sahabat baik. Sahabat yang sama-sama ke sana ke mari dengannya.
“Ya ALLAH, hidupkan kawan aku. Jangan bagi dia mati. Huhhh... huhh...”
“Uwek!”
Qurban bingkas bangun menjelirkan lidahnya. Muna yang menangis terbeliak matanya dan kemudian mengejar Qurban yang sudah ketawa terbahak-bahak.

No comments:

Post a Comment